HUKUM PILIHAN RAYA DI MUSIM HAJI ?


Pencerahan minda dari Hizbut Tahrir Malaysia

Baru-baru ini politik tanah air dikecohkan dengan polemik pilihan raya di musim haji gara-gara satu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Hasilnya, parti pembangkang menyuarakan ketidakpuasan hati dan meminta jentera parti yang terlibat dengan proses pilihan raya agar tidak menunaikan haji pada tahun ini kerana pilihan raya lebih penting untuk didahulukan. Selain pembangkang, banyak pihak lain juga telah mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa pilihan raya di musim haji adalah haram kerana menafikan hak rakyat di dalam menunaikan sebuah kewajipan. Setiap Muslim mengetahui bahawa haji merupakan rukun Islam kelima malah hukum wajibnya haji di dalam Islam adalah termasuk di dalam perkara ma’lum min ad-deen bi dharurah(tidak ada uzur untuk tidak mengetahuinya). Apabila telah cukup syarat-syaratnya, maka setiap Muslim wajib menunaikan ibadah haji, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Umum mengetahui bahawa terdapat golongan yang menyatakan bahawa hukum mengundi di dalam pilihan raya (dalam sistem demokrasi sekarang) adalah wajib. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku pertembungan di antara haji dan pilihan raya, maka salah satu di antara dua kewajiban ini mestilah didahulukan, dengan dibolehkan meninggalkan yang satu lagi. Di dalam menentukan yang mana mesti dilaksanakan terlebih dahulu jika berlaku pertembungan sebegini, ada pihak yang telah berhujah menggunakan kaedah wajib mudhayyaq (sempit) dan wajib muwassa’ (luas). Haji dikatakan wajib muwassa’ manakala pilihan raya dikatakan wajib mudhayyaq. Berdasarkan kaedah ini, pilihan raya (mengundi) mesti dilaksanakan lebih dahulu berbanding haji kerana keterbatasan waktunya yang menyebabkan ‘kewajibannya’ mesti didahulukan. Oleh yang demikian, dibolehkan untuk tidak menunaikan haji demi menunaikan pilihan raya. Inilah pandangan mereka

Setiap Muslim mengetahui bahawa haji adalah ‘rukun’ manakala pilihan raya bukanlah rukun di dalam Islam. Adapun dari segi ‘hukum mengundi’ dalam pilihan raya, HizbutTahrir telah menjelaskan bahawa ia bergantung kepada ‘apakah’ fungsi atau tujuan pilihan raya itu sendiri. Di dalam sistem demokrasi di Malaysia, pilihan raya merupakan satu metodologi untuk memilih wakil untuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Manakala fungsi utama Parlimen atau DUN pula adalah untuk menggubal, meminda atau menghapuskan undang-undang (fungsi tasyri’). Di sinilah HizbutTahrir menjelaskan keharaman pilihan raya di dalam sistem demokrasi kerana ia menjadi wasilah (jalan) kepada fungsi tasyri’, sedangkan di dalam Islam, hak tasyri’ adalah hak mutlak Allah SWT selaku Musyarri’ (Pembuat hukum) [lihat perbincangan lanjut tentang hukum pilihan raya di dalam SN164].

Oleh yang demikian, sekiranya pilihan raya diadakan di musim haji, sebenarnya langsung tidak timbul isu pertembungan di antara dua kewajiban kerana haji adalah wajib (malah rukun) manakala pilihan raya (dalam sistem demokrasi) dipenuhi dengan keharaman. Justeru, pertembungan yang wujud di sini adalah pertembungan di antara sebuah kewajiban dan keharaman yang mana kewajiban (haji) hendaklah ditunaikan manakala keharaman (pilihan raya) wajib ditinggalkan.

Jika ada yang berhujah bahawa setiap Muslim ‘lebih wajib’ mengundi bagi memastikan kemenangan Islam, berbanding kewajiban menunaikan haji, hujah ini adalah batil kerana ia hanyalah hujah akal yang tidak bersandarkan kepada fakta dan juga syarak. Perlu dibezakan di antara ‘kemenangan Islam’ dengan ‘kemenangan parti’. Kemenangan parti tidak bermakna kemenangan Islam manakala kemenangan Islam tidak semestinya melalui kemenangan parti, apatah lagi dalam keadaan parti Islam yang bertanding meletakkan tidak sampai separuh calon pun untuk kerusi Parlimen. Justeru, jika parti Islam menang kesemua kerusi sekalipun, ia secara pasti tidak akan membawa kemenangan Islam, apatah lagi dalam keadaan parti Islam yang bergabung dengan parti kafir dan parti sekular yang tidak mahu menerapkan Islam. Kesemua hal ini menjadikan hujah mengundi ‘lebih wajib’ dari menunaikan haji sebagai hujah yang batil dan tidak ada nilainya di sisi Islam.

Oleh yang demikian, polemik pilihan raya di musim haji yang sibuk diperkatakan kebelakangan ini sebenarnya tidak ada ‘nilai’ pun untuk disinggung kerana demokrasi tidak ada tempatnya di dalam Islam dan tidak boleh dicampur adukkan dengan Islam. Umat Islam perlu keluar terlebih dahulu dari kepompong demokrasi, barulah perbincangan tentang pertembungan pilihan raya dengan haji (jika ia berlaku) menjadi suatu yang bernilai untuk diperkatakan. Dengan kata lain, hal ini relevan untuk dibicarakan sekiranya ia berlaku dalam sebuah Negara Islam di mana sistem Islam berjalan.

Tidak Mungkin Berlaku Pertembungan

Tidak dinafikan bahawa melantik seorang pemimpin (Khalifah) untuk seluruh umat Islam adalah wajib, namun perlu difahami bahawa pelantikan Khalifah di dalam sistem Islam sama sekali berbeza dengan pelantikan seorang pemimpin di dalam sistem demokrasi. Kuasa untuk melantik Khalifah adalah terletak pada umat Islam yang dilaksanakan melalui ahlul halliwalaqdi di mana ahlul halliwalaqdi-lah yang akan melantik dan membai’ah seorang Khalifah. Ringkasnya, bukan keseluruhan umat Islam wajib terlibat di dalam pelantikan pemimpin tetapi hanya sebahagian kecil orang (ahlul halliwalaqdi) sahaja yang terlibat sebagai wakil kepada umat. Melihat kepada konteks ini sahaja, tidak mungkin akan berlaku pertembungan antara wajib mudhayaq dan wajib muwasssa’ yang menyebabkan setiap orang kena meninggalkan kewajiban haji untuk menunaikan kewajiban memilih pemimpin. Ini kerana, jika berlaku pertembungan sekalipun, hanya ahlul halliwalaqdi sahaja yang terlibat (yang kena memilih pemimpin) manakala umat Islam yang lain tidak perlu berbuat demikian.

Selain dari apa yang telah dijelaskan di atas, terdapat banyak sebab lain yang tidak memungkinkan berlakunya pertembungan di antara kewajiban haji dan kewajiban melantik pemimpin di dalam sebuah Negara Islam (Khilafah) kerana hukum menunaikan haji adalah fardhu ain ke atas setiap individu (yang mampu), manakala hukum melantik pemimpin adalah fardhu kifayah. Kita semua faham bahawa fardhu ain merupakan kewajiban yang wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim manakala fardhu kifayah merupakan kewajiban yang, sekiranya telah dilakukan oleh sebahagian Muslim, akan menggugurkan kewajiban ke atas yang lain. Oleh yang demikian, jika wujud pertembungan sekalipun di dalam masalah ini, maka setiap Muslim yang mampu menunaikan haji, wajib pergi haji, kerana haji adalah farhu ain manakala masih terdapat ramai Muslim (yang tak mampu pergi haji) yang boleh melantik memimpin. Justeru, langsung tidak timbul masalah dalam hal ini sehingga menyebabkan semua orang tidak boleh menunaikan haji atas alasan pertembungan wajib mudhayyaq dan wajib muwassa’, kerana melantik pemimpin adalah fardhu kifayah yang cukup dilakukan oleh sebahagian Muslim sahaja.

Selain itu, sebagaimana yang telah diterangkan di atas, Khalifah adalah dilantik oleh sejumlah ahlul halliwalaqdiyang tidak mungkin kesemua mereka pergi menunaikan haji secara serentak sehingga urusan pelantikan pemimpin tidak boleh dijalankan. Jika berlaku sekalipun kekosongan Khalifah tatkala sebahagian ahlul halliwalaqdi sedang menunaikan ibadah haji manakala sebahagian yang lain tidak, maka urusan pelantikan masih tetap boleh dilakukan oleh sebahagian yang ada kerana tidak ada syarat jumlah ahlul halliwalaqdi di dalam melantik Khalifah. Malah, jika seorang sahaja ahlul halliwalaqdi yang ada tetapi ia adalah seorang syeikhul Islam yang mewakili umat Islam secara keseluruhan, maka pelantikan Khalifah tetap sah dilakukan, sebagaimana hal ini pernah berlaku dalam pelantikan Khalifah di dalam sejarah Islam.

Sekiranya berlaku sekalipun keadaan di mana kesemua ahlul halliwalaqdi pergi ke Mekah secara serentak dan pada waktu itu berlaku kekosongan Khalifah, maka pelantikan Khalifah tetap boleh dijalankan, kerana ia boleh dijalankan di Mekah itu sendiri. Hal ini tidak menjadi masalah sedikit pun, apatah lagi dengan kecanggihan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini. Perlu diingat bahawa munculnya masalah pada hari ini adalah kerana Malaysia dan Arab Saudi merupakan dua negara yang berbeza, sedangkan di dalam Islam, Malaysia dan Arab Saudi (dan lain-lain tanah Islam) adalah negara yang satu. Tidak ada satu nas pun yang menyatakan bahawa tidak boleh melantik pemimpin di tempat yang berlainan dari tempat tinggalnya atau tempat di mana ia akan menjadi pemimpin. Rasulullah SAW sendiri di baiah sebagai pemimpin di Aqabah (Mekah) untuk baginda menjadi pemimpin di Madinah (dua tempat/negara yang berbeza pada waktu itu). Oleh yang demikian, Islam membenarkan melantik mana-mana pemimpin (Khalifah) di tempat yang berbeza, selama mana ahlul halliwalaqdi yang melantik datangnya dari tempat yang berkenaan. Malah, berdasarkan banyak hadis, Imam Mahdi yang menjadi pemimpin umat Islam di akhir zaman akan dilantik (dibai’ah) di Mekah, semasa beliau sedang melakukan tawaf di Ka’abah, walhal beliau bukanlah pemimpin Mekah semata-mata tetapi merupakan pemimpin seluruh umat Islam.

Pemimpin (Khalifah) Wajib Dilantik Dalam Masa Tiga Hari

Di dalam sejarah Islam tidak pernah terjadi peristiwa pertembungan di antara kewajiban melantik pemimpin dan kewajiban haji. Namun apa yang pernah terjadi adalah pertembungan di antara kewajiban melantik pemimpin (Khalifah) dan mengebumikan jenazah Rasulullah SAW. Hal ini berlaku sebaik sahaja kewafatan Rasulullah SAW di mana telah berlaku kekecohan di kalangan kaum Muslimin dari sudut siapakah yang lebih layak untuk menjadi pemimpin menggantikan Rasulullah. Akhirnya berlaku perdebatan dan perbincangan yang serius dan panjang di antara mereka, yang terjadi di Saqifah Bani Saidah yang akhirnya berkesudahan dengan Abu Bakar dilantik sebagai Khalifah. Peristiwa ini berlangsung selama 3 hari di mana kaum Muslimin benar-benar telah menyibukkan diri di dalam urusan melantik Khalifah sehingga jenazah Rasulullah SAW tertangguh selama 3 hari.

Peristiwa penangguhan pengebumian jenazah Rasulullah ini membuktikan kepada kita betapa pentingnya urusan pelantikan Khalifah, malah ia lebih diutamakan oleh para sahabat berbanding mengebumikan jenazah Rasulullah sendiri. Walaupun terdapat ramai kaum Muslimin pada waktu itu, yang secara logiknya sebahagian dari mereka boleh sahaja mengebumikan jenazah Rasulullah tatkala yang lain melakukan urusan pelantikan Khalifah, namun ternyata kesemua mereka sepakat (ijmak) untuk tidak mengebumikan jenazah Rasulullah sehinggalah urusan pelantikan Khalifah selesai. Hal ini tidak akan berlaku melainkan hukum melantik Khalifah adalah lebih utama daripada mengebumikan jenazah. Itulah yang menjadi ijmak para sahabat yakni melantik Khalifah adalah lebih wajib berbanding mengebumikan jenazah.

Daripada apa yang berlaku ini, setiap Muslim wajib memahami bahawa batas waktu yang diberikan kepada mereka untuk mengangkat Khalifah adalah tiga hari dengan tidak boleh melebihi tiga malam. Dengan kata lain, seorang Muslim tidak boleh melewati tiga malam sedangkan di pundaknya tidak terdapat bai’ah kepada Khalifah. Kaum Muslimin boleh menunda pengangkatan itu selama tiga hari dan tetap berusaha mewujudkannya. Jika setelah lebih dari tiga malam kaum Muslimin belum juga berhasil mengangkat khalifah, maka hal ini dilihat - jika mereka tetap sibuk berusaha mengangkat seorang Khalifah, namun ternyata mereka belum mampu mewujudkannya selama tiga malam disebabkan oleh hal-hal yang memaksa, yang berada di luar kemampuan mereka, maka dosa telah gugur dari diri mereka. Namun, sesiapa sahaja yang tidak sibuk berusaha mewujudkan pengangkatan Khalifah, maka orang tersebut berdosa hinggalah Khalifah berjaya diangkat. Ketika Khalifah telah diangkat, maka barulah kewajiban itu gugur dari mereka, namun orang yang tidak berusaha tetap memikul dosa sehinggalah ke saat di mana Khalifah telah terlantik.

Selain dari peristiwa pengangkatan Abu Bakar sebagai Khalifah, batas waktu maksimum tiga hari tiga malam yang diberikan kepada kaum Muslimin untuk mengangkat Khalifah, adalah berdasarkan peristiwa Umar yang telah mewasiatkan (pemilihan Khalifah) kepada ahlul syura ketika tampak ajalnya sudah dekat akibat tikaman yang dideritainya. Umar telah menentukan (batas waktu) bagi mereka selama tiga hari. Umar juga berwasiat bahawa jika dalam masa tiga hari belum ada kesepakatan terhadap pelantikan seorang Khalifah, orang yang tidak sepakat hendaklah dibunuh. Umar mewakilkan kepada 50 orang dari kaum Muslimin untuk melaksanakan hal itu, iaitu membunuh orang (ahlul syura) yang tidak sepakat, padahal mereka adalah ahlul syura dan termasuk di antara para sahabat senior. Semua itu dilihat dan didengar oleh para sahabat dan tidak diberitakan adanya seorang pun dari mereka yang tidak sepakat atau mengingkarinya. Dengan demikian, semua itu merupakan Ijmak Sahabat, bahawa kaum Muslimin tidak boleh tidak memiliki Khalifah lebih dari tiga hari. Ijmak Sahabat merupakan dalil syarak sebagaimana Al-Kitab dan As-Sunnah.

Bermula dengan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq sebagai Khalifah pertama kaum Muslimin, sehinggalah kepada Khalifah Abdul Majid II yang merupakan Khalifah terakhir kaum Muslimin yang dijatuhkan secara rasminya pada 28 Rajab 1342H (3 Mac 1924), kaum Muslimin yang dulunya hidup di bawah naungan Khilafah selama lebih 13 abad, kini telah 91 tahun hidup tanpa Khilafah! Hukum syarak hanya memberikan ruang waktu selama 3 hari kepada kaum Muslimin untuk ‘kosong’ dari Khilafah, namun kini kita telah hidup dalam kekosongan Khilafah selama 91 tahun. Maka, sesiapa yang tidak menyibukkan diri (tidak berusaha bersungguh-sungguh) menegakkan Khilafah yang merupakan sebuah Negara Islam, ia telah melakukan dosa yang besar, apatah lagi dengan keberadaan Negara Khilafah sahajalah, seluruh hukum Allah yang lain dapat ditegakkan.

Justeru, sungguh pelik dan amat menyedihkan apabila sebahagian dari gerakan Islam dan mereka yang bergelar ulama, sibuk berbincang dan mengeluarkan fatwa tentang keharaman pilihan raya di musim haji, sedangkan mereka tidak membincangkan keharaman atau mengeluarkan fatwa akan haramnya berdiam diri dari menegakkan Khilafah sejak 3 hari dari tarikh kejatuhannya! Mereka suka menyibukkan diri dengan pilihan raya di dalam sistem demokrasi yang penuh keharaman tetapi mereka langsung tidak menyibukkan diri dalam usaha penegakan Khilafah yang wajib berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah dan juga Ijmak Sahabat. Mereka menilai bahawa ‘meninggalkan’ satu undi di dalam sistem demokrasi ini sebagai sebuah keharaman manakala meninggalkan kewajiban menegakkan Khilafah langsung tiada nilainya di sisi mereka!

Khatimah

Di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, setiap Muslim haruslah melandaskannya kepada situasi yang benar. Fatwa yang dibangun berdasarkan kaedah fiqh yang benar sekalipun akan menjadi fatwa yang penuh kekeliruan dan kesalahan apabila dilandaskan kepada situasi yang salah. Memfatwakan bahawa wajib bagi tentera menjaga sempadan negara adalah benar, jika sempadan yang ingin dijaga adalah sempadan Daulah Islam. Namun jika sempadan yang ingin dijaga adalah sempadan negara demokrasi yang direkayasa oleh penjajah berdasarkan assabiyyah dan wathaniyyah, maka fatwa ini telah jauh menyimpang. Begitulah juga dengan fatwa haramnya pilihan raya pada musim haji , di mana pilihan raya dalam sistem demokrasi itu sendiri hanyalah sebuah rekayasa penjajah yang jauh menyimpang dari Islam. Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, sekiranya kerajaan benar-benar mengadakan pilihan raya pada musim haji, berdasarkan fatwa ini bermakna kerajaan akan berdosa kerana telah melakukan keharaman, yang juga bermakna setiap orang yang keluar mengundi juga adalah berdosa. Persoalannya, apakah pihak yang mengharamkan pilihan raya di musim haji akan turut turun mengundi? Kalau mereka turun mengundi, ini bermakna mereka juga telah melakukan keharaman! Kalau mereka tidak turun mengundi, maka sudah pasti mereka akan kalah! Apakah yang lebih penting dalam kes ini untuk mereka elak, keharaman atau kekalahan? Mungkin akan keluar fatwa lain pula selepas ini bagi membolehkan (menghalalkan) mengundi dalam keadaan haram, demi mengelakkan kekalahan! Wallahu alam.

HUKUM PILIHAN RAYA DI MUSIM HAJI ?

{ 13 comments.. read them below or add one }

Boni JLL3 Boni JLL3 13 July 2012 at 06:09
wah.. harapnya lah agar pilihanraya tak dibuat semasa musim haji..
wandisini wandisini 13 July 2012 at 08:19
salam.
satu tulisan yang sangat baik. banyak yang tak faham antara islam dan parti politik...asalkan melayu je, mereka kata islam. tapi ada cara dan jalan yang mereka lakukan tak merujuk pun kepada islam. bila ada kepentingan untuk diri sendiri, baru kata islam...ah..apa aku mengarut ni..

Review Dan Menang Galaxy Note
onlajer onlajer 13 July 2012 at 08:40
ini bukan hasil tulisan saya, sebab saya rasa baik untuk perkongsian jadi saya terbitkan disini
onlajer onlajer 13 July 2012 at 08:47
Di ingatkan pada para Sidang pembaca sekelian untuk artikel berkaitan Pencerahan minda dari Hizbut Tahrir Malaysia ia adalah hasil tulisan yang dikeluarkan oleh MyKhilafah. saya hanya berkongsi apa yang ditulis oleh pihaknya.
Myra Jay Myra Jay 13 July 2012 at 09:42
Myra kekadang malas nak kisah pasal politik ha..

Tp yang pasti menunaikan HAJI adalah lebih penting dari PILIHANRAYA.

Sebab Ibadah haji merupakan Rukun Islam yang ke 5 ;)
cik lala cik lala 13 July 2012 at 11:46
bagus kupasannyer..
1perkongsian yg berguna..
sy dh fhm sekarang..

org dok sebok kata haram itu, jgn g haji...itu ini..mcm2 cerita keluar tp dr hujah kat atas makin jelas hukum hakammnyer...

jgn sampai agama pun nk dipolitikkn...
Kesuma Angsana Kesuma Angsana 13 July 2012 at 14:22
for me haji tu lebih penting !
jebengotai jebengotai 14 July 2012 at 01:36
pendpt sy la.sebusuk2 pm pon x kan buatnya pru masa kebanykkan menunaikan haji..walaupun kaedah jauh menyimpan dari islam..ttp itu lah kelebihan pm beragama islam..

jika bukan islam belum tentu lg pru tidak akan dibuat masa haji..
CIK TOM CIK TOM 15 July 2012 at 17:52
tunai haji lg pntg... tp xpe kita tgk tarikhnya bila..
zul sabtu zul sabtu 17 July 2012 at 17:33
Kenapa kita pergi Haji dan kenapa kita mengundi?
Kerana satu undi calon akan kalah. Mana lebih penting?
Adakah Allah terima Haji kita kerana tidak menyahut seruan negara? Fikir-fikirkanlah.
irsah irsah 17 July 2012 at 17:51
Terima kasih berkongsi. info yang boleh dijadi rujukan untuk menilai tahap mana dalamnya ke-islaman kita (dari segi pemerintahan)
onlajer onlajer 17 July 2012 at 18:33
Pernah mendengar cerita dari ustaz yang membuat kuliah haji , ramai orang berkata tidak mampu menunaikan ibadah haji , sedangkan meraka mampu membayar ansuran bulanan kerata atau rumah dan kekadang boleh bertukar - tukar kerata baru. Ada kah meraka tidak berfikir meraka itu sebenarnya mampu.